Thursday, October 23, 2008

Wasiat Imam Shafie


1. Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang hanya dihafaz semata-mata

2. Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri, menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain, menggunakan rezeki yang halal, berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasan Allah.

3. Imam Syafi’e telah ditanya tentang tabiatnya yang suka menggunakan tongkat sedangkan beliau bukanlah telah uzur, maka beliau menjawab : Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah

4. Perkara yang mesti ada pada pemimpin ada lima iaitu benar dalam percakapan, menjaga rahsia, menunaikan segala janji, sentiasa memberi nasihat dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan

5. Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap sudah mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demikian.

Wednesday, October 22, 2008

Bila Solat Di Pandang Enteng!


Suatu perkara yang menarik untuk dibicarakan kali ini berkenaan sikap atau tanggapan sesetengah
masyarakat memandang enteng amalan solat yang menjadi teras kepada keIslaman selepas
melafazkan kalimah syahadah. Contohnya kalau sakit sahaja maka mereka beranggapan terluputlah
kewajipan solat itu walau pun sakit tu tak seberapa. Bila anggota wudhu' berbalut luka maka itu
dijadikan alasan untuk tidak bersolat. Dan apabila berpergian ke suatu tempat yang jauh maka itu
dijadikan sandaran untuk tidak bersolat. Dan apabila sibuk sahaja, itu juga turut dijadikan modal untuk
tidak bersolat. Dan ada pula dengan mudah mengqadhakan sahaja solat apabila berlaku sebarang
gangguan.


Sesetengah dikalangan kita beranggapan apabila menunaikan solat mesti lengkap dengan
kain pelikat, berbaju melayu dan bersongkok hitam. Jika tidak maka tak sempurnalah amalan solat itu.
Begitulah longgarnya fahaman berkenaan solat itu. Menjadikan kefardhuan solat hanya dilakukan di
waktu senang dan aman sahaja. Wal hal Islam meletakkan solat itu sebagai tiang agama. Bermakna
jika tiang tidak didirikan seolah-olah telah meruntuhkan agama. Kalau hanya melakukan amal soleh
seperti puasa, zakat, berakhlak mulia, tolong menolong dan segala bentuk amal yang lain tetapi solat
diabaikan. Yang pasti amal itu tidak diterima Allah.


Bagaimana amalan lain hendak diterima Allah
sedangkan asas dan tiang iaitu solat tidak didirikan. Sedangkan amal-amal yang lain itu bertindak
umpama dinding, tingkap, bumbung yang melengkapkan terbinanya sebuah rumah.
Islam amat menitikberatkan supaya solat tetap diamalkan oleh hambaNya. Sebab itu Islam
menyediakan kelonggaran bagi sesiapa yang uzur yang tidak boleh bersolat seperti biasa, dibenarkan
solat duduk, kalau tak boleh di benarkan berbaring atau mengiring. Kalau tak boleh juga hanya melalui
gerakan kelopak mata pun masih dibenarkan.


Begitu juga bagi yang bermusafir, Islam memberikan
bonos kepada ummatnya supaya mengerjakan solat secara jamak atau qasar. Selain itu bagi yang
tidak boleh berwuduk seperti biasa dibenarkan bertayammum. Pendek kata walau dalam keadaan mana
sekalipun situasi dan kondisi seseorang itu, solat pasti dikerjakan. Qadha solat hanya dibenarkan
kepada mereka yang terlupa dan tertidur sahaja. Tak lebih dari itu.
Tok anjang bukan nak mengajar itik berenang kerana memang begitu fitrahnya itik. Jika tidak diajarpun
itik tetap boleh berenang. Cumanya dalam hal solat ini kita saling memperingati di antara satu sama
lain. Kadang-kadang kita dialpakan dengan kesibukan dan kecanggihan hidup dizaman ini. Yang pasti
walau dalam keadaan mana sekalipun dan kita berada di zaman apa jua, solat lima waktu mesti
ditunaikan. Itulah amal yang tidak boleh dikesampingkan.

Tuesday, October 21, 2008

Adab-Adab Pergaulan

Dipetik daripada Kitab Mau'izatul Mu'minin, karya Imam Al-Ghazali

Jika kamu ingin berbual secara baik dan sopan, maka ikutilah petunjuk-petunjuk ini :

Hadapilah kawanmu atau musuhmu itu dengan wajah yang menunjukkan kegembiraan
dan kerelaan serta penuh kesopanan dan ketenangan. Jangan sekali-kali kamu
menampakkan sikap angkuh, sombong dan berasa tinggi diri. Rendahkanlah dirimu
tapi bukan kerana perasaan kurang harga diri. Dalam segala hal, letakkan menurut
ukuran yang pertengahan, sebab sesuatu yang berlebihan dari segala macam perkara
itu pasti tidak baik dan tercela.

Jangan gemar melihat di kedua sampingmu, kanan atau kiri. Jangan pula banyak
menoleh ke mana-mana. Jangan pula terlampau tajam memandang orang lain. Jikalau
engkau duduk, maka janganlah seolah-olah sebagaimana orang yang tidak tenang
duduknya dan seperti orang yang hendak melompat-lompat sahaja.

Usahakanlah supaya dudukmu itu sentiasa tampak tenang, kata-katamu selalu teratur
dan tertib. Dengarlah hati-hati percakapan orang yang ada di mukamu, tanpa
menunjukkan kehairanan yang amat sangat. Jangan pula engkau biasa meminta orang
lain mengulangi perbicaraannya. Jikalau ada hal-hal yang mentertawakan, maka
diamlah secepat mungkin.

Janganlah dalam bercakap-cakap itu engkau membanggakan dirimu sendiri,
anak-anakmu, rambutmu, karangan-karanganmu atau apa sahaja yang engkau anggap
suatu keistimewaan dalam dirimu atau keluargamu.

Jikalau engkau berdebat, pegang teguhlah kesopanan. Janganlah engkau dianggap
manusia yang bodoh dan tolol oleh orang lain, terutama oleh lawanmu. Jauhkanlah
sikap tergesa-gesa, fikirkanlah masak-masak hujah atau bantahanmu. Jangan sesekali
berisyarat dengan menggunakan tangan dan jangan pula suka menoleh ke belakang.
Jikalau engkau sedang marah, diamlah dulu dan setelah reda kemarahanmu,
ucapkanlah isi hatimu dengan baik.

Pesanan Buat Semua

Jika kamu memancing ikan..setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu..
Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja..
Kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin akan menderita selagi ia masih hidup...
Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang ..setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya..
Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja..
Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu...